Friday, April 20, 2007

Hidup adalah pilihan



Ada dua biji benih yang terdampar di sebidang tanah yang subur. Benih yang pertama berkata “ Aku ingin tumbuh besar. Aku ingin menjejakkan akarku sedalam-dalamnya ke dasar bumi ini dan menjulangkan tunas-tunasku ke atas tanah ini. Aku ingin memekarkan tunas-tunasku dan menyambut salam sang mentari. Aku ingin merasai kehangatannya juga kedinginan embun yang menitis di pucuk-pucuk daunku".

Dan benih itu tumbuh, menjulang tinggi.

Benih yang kedua bergumam “ Aku takut. Jika kutanamkan akarku ke dalam tanah ini, aku tak tahu apa yang akan kutemui di bawah sana. Bukankah di sana sangat gelap? Dan jika kuterobos tunasku ke atas sana, bukankah nanti keindahan tunas-tunasku akan hilang? Tunasku nanti pasti akan terkoyak”.

“ Apa pula akan terjadi jika tunasku terbuka dan siput-siput di permukaan tanah itu akan cuba memakannya? Dan pasti, jika aku tumbuh dan tunasku merekah, pasti ada kanak-kanak yang akan mencabutku dari tanah. Tidak, lebih baik jika aku menunggu sehingga semuanya aman”.

Dan benih itu pun menunggu… keseorangan.

Beberapa ketika kemudian, datang seekor ayam jantan yang menguis-nguis tanah lalu menjumpai benih tersebut. Lalu ayam jantan tersebut pun mematuk benih kedua itu dan memakannya.


Sememangnya kita punya pilihan dalam hidup. Ada warna-warna yang perlu kita tempuhi. Namun, kita sering dibelenggu dengan ketakutan, kebimbangan dan keraguan yang kita ciptakan sendiri. Seringkali, kita terbuai dengan alasan-alasan untuk tidak mahu melangkah dan tidak mahu menatap kehidupan. Kerana hidup adalah pilihan, hadapilah dengan tabah. Kerana hidup adalah pilihan, pilihlah dengan bijak.

* Adakah saya telah membuat pilihan yang bijak??

No comments: