Sunday, July 09, 2006

Yang menuntut dan menghambat

Hari-hari yang dilalui semakin lama semakin sarat dan menyesakkan. Entah kenapa aku rasa semakin hari tugas semakin memberat hingga aku tak punya masa untuk berfikir dan meneliti. Segalanya menuntut aku untuk bertindak pantas hingga aku gagal untuk menentukan yang mana satu adalah prioriti. Akhirnya, keperluan diri sendiri menjadi yang paling akhir aku letakkan. Buktinya, sekali lagi rancangan untuk bercuti terpaksa dibatalkan demi memenuhi tanggungjawab terhadap orang lain.

Tidak adil rasanya mengeluh kerana kesibukan bekerja kerana aku sendiri yang memilih untuk bekerja begini. Tidak adil juga untuk mengenepikan keluarga sendiri sedangkan merekalah yang banyak berkorban untukku selama ini. Satu-satunya hujung minggu yang aku boleh beristirehat dan keluar dari kesibukan terpaksa aku korbankan kerana terpaksa menguruskan kemasukan adik perempuanku dan sepupu lelakiku ke UIA. Walaupun keletihan, aku tetap mampu melayan keluarga yang datang dari Johor ke rumahku, menyelesaikan semua urusan berkaitan kemasukan dan pendaftaran. Mana mungkin aku ketepikan mereka kerana selama ini merekalah kekuatanku.Rasa puas melihat seorang demi seorang adik dan sepupuku menjejakkan kaki ke menara gading dan aku menjadi sebahagian dari segala kegembiraan itu.

Walau apapun aku tetap seorang perempuan. Kepenatan akan aku akhiri dengan tangisan juga. Sebabnya, masa yang terhad membuatkan aku tak punya masa untuk meluahkan segala rasa. Tekanan, keletihan tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Akhirnya aku hanya mampu menangis untuk meredakan segala gelodak hati dan perasaan. Selain blog ini yang membolehkan aku melahirkan segala rasa dengan untaian kata-kata.. itu yang mampu aku lakukan dalam gelap dan senyap.

Semoga aku masih punya ruang untuk memenuhi segala impian. Semoga aku masih dikurnia kekuatan menghadapi segala hambatan dan cabaran.