Tuesday, February 28, 2006

Pasca 2nd Convocation Ceremony

Berakhir jua sengsara walaupun kesannya masih ada. Lewat perlantikan sebagai Director convo aku sebenarnya tidak yakin dapat melakukannya. Aku melihat diriku sebagai seorang perempuan biasa dengan saiz yang kurang meyakinkan untuk melakukan tugas berat seorang event director. Pada ketika itu aku melihat di hadapanku puluhan lelaki-lelaki macho, lebih dewasa, matang dan berpengalaman yang lebih sesuai memegang tanggungjawab itu. Dalam kebimbangan aku terima tugas tersebut dengan separuh hati. Dengan beban tugas sedia ada sebagai lecturer dan kaunselor (ada program yang tertangguh - RTS III), timbunan assignment kelas master, hambatan tuntutan keluarga yang tiba-tiba ditimpa ujian dan dugaan tuhan, juga tuntutan untuk memberi perhatian kepada mereka memandangkan ayahanda tersayang ke tanah suci menunaikan fardhu haji. Semestinya sebagai anak sulung aku mesti menjaga amanah ayahanda untuk lebih mengambil berat hal keluarga.
Namun kupujuk hati agar lebih tabah dan bersedia dengan sebagai kemungkinan. Bukan mudah menyambung tugas orang lain. Dan seperti dijangka, pelbagai masalah, kesukaran, konflik timbul di pertengahan usaha. Dalam hatiku, aku sedang melalui cabaran finale "The Apprentice", rancangan kegemaranku. Kukawal emosi yang seringkali berombak dan bergelora berhadapan masalah yang bertimpa-timpa dan tidak diduga higgalah ke saat akhir acara. Jauh di sudut hatiku, aku bangga dengan diriku sendiri yang berjaya menahan segala rasa dari terbit dan dibaca oleh seluruh rakan kerja walaupun hampir-hampir kuhamburkan segala resah gelisah dan gundah.
Aku juga berbangga dengan semangat seluruh warga kerja yang inginkan yang terbaik untuk keseluruhan acara majlis konvokesyen. Walaupun batasan masa, keluarga, kesihatan, tugasan sedia ada sentiasa menghambat, boleh kukatakan kerjasama erat dan semangat berpasukan menjadikan event ini satu kejayaan besar buat semua. Maaf jika apresiasi tidak seberapa berbanding pengorbanan yang telah diberikan berbulan lamanya. Siapa aku untuk membalas budi baik dan jasa. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Mr. CEO yang memberi ruang untuk aku membuat banyak keputusan tanpa dipersoalkan. Juga kepada ex-director yang sanggup turun padang pada hari rehearsal dan membantu melaksanakan tugas2 di hari acara berlangsung demi memastikan semuanya berjalan dengan lancar walaupun sepatutnya duduk di kerusi VIP. Kepada ex-staff IIC, terima kasih kerana sudi bersama.
Hingga saat catatan ini dilakarkan, suaraku yang hilang pada hari rehearsal masih belum pulih sepenuhnya. Kertas ujian pun baru hari ini kuserahkan pada pelajar, presentation kelas master yang masih tertangguh lagi entah bila boleh dilangsaikan, ayahanda yang baru pulang dari tanah suci pun aku sempat temui sehari cuma. Pendek kata...bukan mudah untuk cover semua perkara yang aku tinggalkan semata-mata untuk convo. Kesihatan pun belum betul-betul pulih sepenuhnya. Terlalu banyak dan mahal harganya untuk aku menyelesaikan tugas tersebut. Namun aku tahu pasti ada kebaikan menanti. Semoga aku terus tabah lagi dan berupaya mengekalkan apa yang aku miliki.