Thursday, May 09, 2013

YAH, RASIS TU APA?

Satu hari tiba-tiba mak Tanya.. “Yah, rasis tu apa?” Saya terdiam seketika mencari-cari kata yang paling sesuai. Terkejut dengan soalan itu sebenarnya. Dalam hati “takkan mak tak tau rasis apa?” Tiba-tiba mak menyambung “Suratkhabar sekarang bahasanya tinggi-tinggi, banyak yang mak tak berapa faham”. Saya senyum.
Bila saya fikir-fikir semula, ya mak mungkin tak faham apa itu rasis dari sudut bahasa. Tapi dari sudut perbuatan pun dia tak terfikir apa rasis dan bagaimana rasis itu. Sebabnya puluhan tahun kami berjiran dengan yang berbangsa cina, bukan satu tetapi tiga. Seorang rumahnya di sebelah kiri rumah kami, dan dua keluarga lagi berdepan dengan rumah kami.
Biar saya ceritakan jiran di sebelah kiri dulu. Namanya Ate (atau Ah Te mungkin) dan isterinya kami panggil nyonya. Mempunyai dua orang anak, yang besar namanya Ah Bun dan adiknya perempuan bernama Ah Ling (kalau tak silap saya). Ate berniaga barang runcit, tempat mak dan jiran-jiran membeli keperluan dapur. Rumah kami dipisahkan oleh beberapa baris pokok getah, kalau kami buka jendela kami akan nampak pintu dapur rumah Ate yang berpagar kayu separuh. Di situ terikat anjing besarnya yang akan menyalak sekuat hati bila nampak manusia lalu di baris-baris pokok getah bersebelahan rumahnya. Bil saya besar sedikit barulah saya tahu yang Ate membina rumah di atas tanah milik Pakcik Saimi jiran kami. Lama sungguh dia menumpang di atas tanah tersebut sehinggalah pakcik Saimi jualkan tanah tersebut kepada Arwah Haji Bakar dan dia sendiri berpindah ke tempat lain.
Berkenaan Ate yang berniaga runcit, saya selalu disuruh oleh arwah embah(datuk) ke kedainya. Rasa saya ketika itu saya baru berumur dalam 4 atau 5 tahun. Bersungguh-sungguh arwah ajarkan saya menyebut Benson and Hedges (betulke ejaan ni) supaya saya boleh belikan rokok di kedai Ate bila-bila dia mau. Sayapun menyusup di celah-celah pokok getah ikut jalan tepi parit untuk sampai ke kedai Ate, beli rokok. Kadang-kadang nyonya beri saya sebiji gula-gula udang atau sepuluh sen sebagai upah kecerdikan saya beli barang walaupun saya masih kecil. Masa itulah saya dan Ah Ling senyum-senyum dan bertegur-tegur. Kami tidaklah berkawan rapat sebab Ah Ling bersekolah cina kemudiannya manakala saya pula ke sekolah Keb Sri Kembar.
Anjing Ate memang suka bising, mula-mula kami takut. Kalau nak ke rumah Wak Turinah atau Cik Radzi kami akan menyusup perlahan-lahan ikut denai yang sedia ada, jangan sampai terpijak ranting atau apa-apa yang boleh buat anjingnya melolong-lolong sebelum dengar nyonya pula melolong marahkan anjingnya suruh diam. Tapi lama-lama kami yang buat provokasi biar anjingnya melolong sampai penat. Kami baling dengan biji getah atau ranting kayu kemudian kami lari lintang-pukang. Walau bagaimanapun tak pernah kami dengar nyonya marahkan kami atau mengadu dengan mak bapa kami yang anaknya jahat. Kalau tak silap saya ada seorang lagi nyonya di rumah itu yang suka duduk di kerusi malas dekat dengan pintu dapur. Mungkin itu emak kepada nyonya isteri Ate.
Dijadikan cerita, ketika saya darjah 4 atau 5 saya dapat tahu pakcik Saimi jualkan tanahnya jadi Ate kena pindah ke tempat lain. Saya kurang periksa kemana mereka tapi ikut emak tak jauh, dekat-dekat juga. Arwah Haji Bakar beli tanah dari Pakcik Saimi dan beli rumah dari Ate. Kami sekeluarga bergotong-royong menyertu rumah Ate supaya keluarga Haji Bakar boleh tinggal di situ tanpa was-was. Saya ingat Ate terus pindah dan kami tak akan jumpanya lagi. Tak lama lepas Ate pindah bapa diserang gout dan tak boleh teruskan kerjanya sebagai pemandu teksi. Ketika itu saya darjah 5. Bapa buka kedai runcit di depan rumah kami, juga kedai buah di atas jambatan. Tapi kedua-dua kedai akhirnya tutup kerana tak mampu mengurusnya gara-gara bapa selalu jatuh sakit.
Berbalik kepada kisah Ate. Selepas UPSR yang keputusannya entah hapa-hapa sampai saya dimarahi bapa tak habis-habis berminggu-minggu lamanya, saya masuk asrama. Tiba-tiba satu hari bila balik dari asrama saya lihat bapa letak sesuatu yang bergegar di kakinya hingga kakinya mengeluarkan cairan macam peluh. Mak pun bercerita “kau tau Yah, Ate dengan nyonya datang, bawa mesin ni. Kau tau mesin apa? Mesin ni perah asid gout”. Saya macam tak percaya. Satu..saya tak percaya Ate ngan nyonya boleh datang semata-mata nak beri ubat pada bapa (mesin tulah) sebab saya ingat mereka pergi tak kembali dah. Dua..saya tak percaya juga mesin tu perah asid gout, mungkin yang keluar tu adalah peluh bapa. Percaya atau tak...sakit bapa berkurangan. Saya lihat lama juga mesin tu di rumah sampailah saya balik dari asrama semula dan tengok mesin tu dah tak ada. Saya pun tak peduli, masa tu peduli saya hanya pada pelajaran dan angan-angan zaman remaja macam remaja lain juga.
Jadi point saya ialah..baik mak, bapa atau Ate dan keluarganya, tak ada siapapun yang tahu apa itu rasis dan bagaimana rasis itu diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Saya pernah sebut ini kepada suami saya masa mula-mula kahwin dulu (kalau dia masih ingatlah) sebab seumur hidup kami menetap di perkampungan melayu, kami  dikelilingi jiran-jiran cina. Bila hari raya mak hantar makanan ke rumah Ate, sebagai balasannya Ate dan keluarga juga hantar makanan kepada kami pada tahun baru cina walaupun akhirnya kami hantar kepada keluarga cina depan rumah kami sebab curiga kami pada halal haramnya. Kalau dia bagi limau atau oren bodoh (long chan) memang kami melantak sampai tak ingat. Pasal anjingnya yang suka buat bising pun kami tak kisah kerana lolongan anjing Ate adalah petanda samada orang asing merapati kejiranan kami, atau kami didatangi tetamu tak diundang seperti babi hutan atau ada orang datang bertandang ke rumah kami ikut short cut (jalan belakang rumah). Sekurang-kurangnya kami terselamat dari anasir-anasir yang tak diingini.
Di kampung saya, masyarakat cina hidup meneruskan aktiviti masing-masing. Ada yang kaya ada yang miskin. Yang kaya pun tidaklah sampai boleh bina banglo jutaan ringgit. Yang miskin masih ada yang kayuh basikal jual sayur dari tumah ke rumah. Kadang-kadang kami beli juga sebab kasihan. Ada yang dah punya tanah sendiri ada juga masih menumpang tanah orang. Tapi semua hidup bersama tanpa buruk sangka dan dengki khianat. Mereka menjual kita membeli. Kalau kedai mereka tutup kita pun susah nak makan apa. Mereka jual barang runcit mak saya jual kuih. Bila mereka hantar tepung ke rumah, mak bagi beberapa biji kuih percuma. Tak ada prejudis. Siapa mereka pangkah dalam pilihanraya itu hak mereka. Kita pun tak pernah Tanya. Kat dahi mereka taka da cop dacing atau roket. Kalau dacing 1 Malaysia kalau roket kau komunis. Tidak dan tidak ada.
BERSAMBUNG.