Sunday, October 15, 2006

Aku yang belum mula menulis...

Telah lama kupendam hasrat untuk menjadi penulis. Tapi kesempatan masih belum ada untuk meneruskan hasrat itu. Yang aku boleh hanyalah sekali-sekala mengunjungi blog ini dan meluahkan yang terpendam melalui untaian kata-kata indah, menyiapkan modul untuk kelas komputer, menulis untuk penerbitan Kaunseling department, menulis artikel-artikel kecil untuk akhbar dan majalah untuk tujuan promosi kolej dan yang paling banyak ialah menulis untuk tugasan kelas master.

Hari ini rasa cemburu bertandang bila melihat karya salah seorang teman lama di UIA tersiar di Berita Minggu. Hai.. bila agaknya aku nak bermula ni. Minggu lepas aku dikhabarkan Bapak dan mama zulfa juga sedang menulis novel. Teringat satu ketika dulu kami berlumba untuk menjadi novelis. Tapi terkubur bila mama zulfa berpindah ke KUIM dan aku sibuk dengan kelas diploma Kaunseling. Walaubagaimanapun, hasrat itu belum lagi luntur dari hatiku bahkan semakin berkembang dari sehari ke sehari.

Tidak lama lagi, insyaallah.. aku akan memulakannya.

Saturday, October 14, 2006

Tabah merentasi

Setiap hari aku berdoa agar tuhan melebarkan kebenaran di hadapan mata sendiri
Namun bila kebenaran itu telah nyata
Aku seakan tidak mampu berdiri.

Setiap ketika aku berharap aku berdaya melalui
Namun semakin hari semakin sakit dan perit
Semakin terhiris dan terguris.

Setiap saat kupinta kekuatan menghadapi cabaran
Namun adakala aku rasa seakan ingin berhenti berhadapan
Menggeleng dan berpaling.

Aku masih belum berhenti berdoa
Kerana itu sahaja yang tinggal untukku terus
merentasi dan menabahkan diri.

Kalau tanpa tuhan.. entah di mana aku?