Thursday, December 07, 2006

1 Disember

Mengamati perjalanan hidup ke takat ini, baru kusedari banyak kejadian-kejadian penting secara kebetulan berlaku pada tarikh 1 Disember. Setiap 1 Disember aku seakan-akan memulakan sesuatu yang baru. Fresh. Kenangan membawaku kepada peristiwa berikut:

  • 1 Disember 2003 - Career sebagai pensyarah bermula di IIC. Aku memilih kerjaya ini setelah mendapati inilah yang terbaik dan sesuai dengan karakter dan kelebihan yang aku miliki. Ini antara keputusan terbaik yang pernah aku lakukan.
  • 1 Disember 2004 - Perlantikan sebagai kaunselor. Pada saat itu, aku rasa itulah keputusan paling silap yang dilakukan oleh pihak pengurusan kolej untuk diriku. Tapi hari ini, itulah keputusan salah yang terbaik untuk diriku yang pernah dilakukan oleh orang lain.
  • 1 Disember 2005 - Setelah menanti sekian lama dan menghabiskan banyak wang ringgit, pada tarikh ini aku mendapat kereta baru. Ini begitu besar untukku kerana kereta ini 100% hasil titik peluhku. Tidak sesen pun aku minta dari orang lain. Dan kereta ini jugalah menjadi salah satu hak milik yang menghasilkan pencarian untukku.
  • 1 Disember 2006 - Satu keputusan yang sangat besar melihat kepada risikonya yang juga besar. Aku meletakkan jawatan sebagai Deputy Dean SCS. Sesungguhnya ia bertentangan daripada prinsip yang aku pegang selama ini iaitu kesanggupan menghadapi cabaran. Tetapi, aku melihat ketidaksanggupan untuk berkorban lebih dari kemampuanku sebagai alasan. Alhamdulillah.. proses perletakan jawatan berlaku dengan mudah dan aku sangat gembira akhirnya aku berjaya memimpin diriku untuk melakukan sesuatu demi kebaikan diriku sendiri. Terima kasih yang tak terhingga buat yang sentiasa memberi sokongan.
  • 1 Disember 2007 - ??? (tetap mengharap yang lebih baik dan yang terbaik)

Banyak perkara perlu direnungkan.. setiap sesuatu dihadapan adalah satu pilihan untuk kita. Namun setiap pilihan menuntut pengorbanan dan berisiko. Tanya diri anda, sanggupkah berhadapan dengan cabaran? sanggupkah berkorban? kalau jawapannya YA.. teruskan memilih. Kalau TIDAK.. teruskan dan berhadapan dengan apa yang ada. Kerana adakalanya kita tidak mampu menghadapi sesuatu yang tidak pasti...

Sunday, November 19, 2006

Ramadhan, Syawal, Peperiksaan dan Pekerjaan.

Baanyak.. sangat nak cerita. Ikut topik la ye.

1. Ramadhan
Ramadhan tahun ini adalah ramadhan yang sangat mencabar bagiku. Yang penting hanyalah berpuasa. Selebihnya aku bergelumang dengan assignment dan kerja pejabat yang tak pernah habis. Ada antara hari-hari dalam Ramadhan kali ini yang aku duduk di depan komputer dari waktu berbuka hinggalah waktu sahur. Ada hari-hari yang aku hampir terlupa dengan berbuka puasa. Mujurlah ada rakan-rakan yang mengingatkan. Jika tidak mungkin aku lupa diri seketika. Ramadhan kali ini masa sangat terbatas untuk membolehkan aku berjamaah di masjid seperti dahulu. Mulanya agak kesal terasa namun kupujuk hati kerana aku bukan sengaja membuang masa. Menuntut ilmu juga satu kewajipan.

2. Syawal
Hampir terlupa bila masanya syawal menjelang. Terasa Ramadhan sangat singkat hinggakan aku langsung tidak bersedia untuk menyambutnya. Namun panggilan telefon dari emak di kampung menyedarkan aku ada banyak kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kebiasaannya aku yang menguruskan baju raya adik-adik dan kuih-muih, kali ini aku bagaikan tak wujud. Tak langsung ada dalam fikiran untuk menyambut hari raya. Terasa sungguh yang aku sangat diperlukan oleh mereka.
Syawal yang tiba kusambut seperti biasa walaupun tahun ini agak luar biasa jumlah tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang lebih luar biasa ialah syawal kali ini aku habiskan dengan menghadap komputer berbanding menonton rancangan TV. Syawal kali ini hanya sehari saja kuperuntukkan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Itu pun yang berdekatan dengan rumah. Syawal kali ini jugalah aku hanya menghabiskan cuti hingga hari ketiga di kampung. Berkorban demi pelajaran.

3. Peperiksaan
Musim peperiksaan bermula sebaik saja cuti hari raya berakhir. Bukan saja peperiksaan Master tetapi juga peperiksaan di kolej. Aku menjadi sangat sibuk. Tugas di pejabat terlalu banyak menjelang minggu peperiksaan. Dalam masa yang sama aku perlu study untuk peperiksaan sendiri. Assignment tak pula habis-habis. Bila boleh membaca jika assignment tak siap? Besar sungguh cabaran. Aku terpaksa melalui antara saat-saat paling tertekan dalam hidupku. Saat apabila hampir semua meminta aku melakukan semuanya dalam masa yang sama. Aku hanya satu, kudratku terhad, masa juga terbatas. Aku mula tidak kenal malam dan siang. Semuanya sama bagiku. Walaupun sangat perit dan sakit kugagahkan juga.

4. Pekerjaan.
Menjadi pendidik adalah pekerjaan yang aku suka walaupun aku agak lambat mengetahuinya. Aku rasa aku antara pendidik yang digemari di kolej tempatku bekerja. Ini berdasarkan komen dan penilaian pelajarku sendiri. Mungkin kebiasaan berdebat mengasah bakatku dalam bidang ini. Namun kebelakangan ini aku rasa aku bukan lagi pendidik yang baik, kreatif, bersemangat dan melakukan tugasku dengan sepenuh hati. Tugas-tugas pengurusan menjadikan aku tidak punya masa untuk melakukan perkara yang dulunya aku lakukan. Aku menjadi lebih serius, sensitif juga sangat kejam adakalanya. Masa untuk melayani kerenah pelajar semakin sedikit dan kadangkala tiada langsung. Perebutan antara kaunseling dan SCS juga semakin ketara. Sumbanganku terhadap kaunseling semakin berkurangan, fokus hilang dan aku semakin banyak menolak untuk menjalankan sesi kaunseling. Tidak tahan dengan kesibukan dan tidak gembira dengan tugas sebagai timbalan dekan, aku menulis surat perletakan jawatan pada ulang tahun kelahiranku. Aku pohon agar aku boleh kembali seperti aku yang dulu. Yang cergas, ceria dan bersemangat.

Sunday, October 15, 2006

Aku yang belum mula menulis...

Telah lama kupendam hasrat untuk menjadi penulis. Tapi kesempatan masih belum ada untuk meneruskan hasrat itu. Yang aku boleh hanyalah sekali-sekala mengunjungi blog ini dan meluahkan yang terpendam melalui untaian kata-kata indah, menyiapkan modul untuk kelas komputer, menulis untuk penerbitan Kaunseling department, menulis artikel-artikel kecil untuk akhbar dan majalah untuk tujuan promosi kolej dan yang paling banyak ialah menulis untuk tugasan kelas master.

Hari ini rasa cemburu bertandang bila melihat karya salah seorang teman lama di UIA tersiar di Berita Minggu. Hai.. bila agaknya aku nak bermula ni. Minggu lepas aku dikhabarkan Bapak dan mama zulfa juga sedang menulis novel. Teringat satu ketika dulu kami berlumba untuk menjadi novelis. Tapi terkubur bila mama zulfa berpindah ke KUIM dan aku sibuk dengan kelas diploma Kaunseling. Walaubagaimanapun, hasrat itu belum lagi luntur dari hatiku bahkan semakin berkembang dari sehari ke sehari.

Tidak lama lagi, insyaallah.. aku akan memulakannya.

Saturday, October 14, 2006

Tabah merentasi

Setiap hari aku berdoa agar tuhan melebarkan kebenaran di hadapan mata sendiri
Namun bila kebenaran itu telah nyata
Aku seakan tidak mampu berdiri.

Setiap ketika aku berharap aku berdaya melalui
Namun semakin hari semakin sakit dan perit
Semakin terhiris dan terguris.

Setiap saat kupinta kekuatan menghadapi cabaran
Namun adakala aku rasa seakan ingin berhenti berhadapan
Menggeleng dan berpaling.

Aku masih belum berhenti berdoa
Kerana itu sahaja yang tinggal untukku terus
merentasi dan menabahkan diri.

Kalau tanpa tuhan.. entah di mana aku?

Tuesday, September 12, 2006

Percutian keluarga..



Setelah merancang dan berangan-angan sekian lama..akhirnya aku berjaya juga membawa keluarga bercuti walaupun banyak perkara yang terpaksa aku korbankan. Namun puas...sangat puas. Itu satu-satunya perkataan yang mampu aku sebutkan untuk menggambarkan apa yang telah aku lalui bersama keluargaku beberapa hari lalu.

Perjalanan boleh dikatakan sangat singkat.
Jarak boleh dikatakan amat dekat.
Namun cukup untuk membuat hati-hati kami terpaut rapat.

Bukan mudah mengatur perjalanan sesingkat itu. Apatah lagi bila masing-masing telah punya tugas, tanggungjawab dan haluan sendiri. Kehadiran Kak Su bersama kami menambah meriah suasana. Aku berharap percutian ini memberi nafas dan semangat baru kepada diriku.
Dalam keseronokan melayani percutian, ada perkara yang masih menghambat.

Namun aku pasti aku masih mampu berdiri menghadapi
Lautan mana tidak diterjah gelombang
Hidup mana tidak disapa cabaran
Selagi masih ada hayat dan kudrat
selagi masih dibenarkan menghirup udara tuhan
Aku masih punya masa depan.
Teruskan berlari mengejar, tidakkan berhenti berjalan kedepan.

Monday, August 21, 2006

Pintu untuk kembali yang telah terbuka..

Ada satu bahagian dalam diriku yang tidak aku tampilkan sebenar-benarnya. Ada minat, bakat dan keunikan.Ada naluri yang tidak mampu aku sangkal. Samada sengaja aku simpan dan pendam atau biarkan ia hilang.. atau sebenarnya aku tidak berkesempatan... atau mungkin aku tidak cuba mencari peluang dan ruang.
Namun kejayaan beberapa hari lalu membuatkan aku seolah-olah kembali ke jalan itu. Ini satu pencapaian peribadi yang sangat tidak ternilai. Penyertaan suka-suka mencatatkan satu sejarah dan aku rasa lorong ke arah itu masih lagi terbuka luas buatku. Bahkan mungkin lebih luas lagi daripada sebelum ini kerana aku mula menangkap makna satu kepuasan yang tidak terhingga.Ini adalah satu janji.. cepat atau lambat aku pasti akan kembali ke lorong ini.
Terima kasih buat teman-teman yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Terima kasih pada yang sudi memberi panduan. Terima kasih pada yang merestui penglibatan. Terima kasih yang sentiasa bersama dan menemani dari sesi latihan higgalah semua peringkat pertandingan..Terima kasih yang sama-sama berkorban. Masa, wang ringgit... segala-galanya. Kalian tetap di ingatan.


* Gambar: Ketika beraksi di pentas akhir W.P & Bersama Amran (ex-student) selepas Pertandingan Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2006. (Amran - tempat kedua W.P, Zkea - Ketiga W.P)

Thursday, August 17, 2006

Catatan dari sudut rasa

Mengusap segala resah
Menahan segala gundah
Melayani gelisah

Mencari-cari
Teliti-meneliti
Menguji-uji

Yang saput dalam ingatan
Yang luput dari kenangan
Yang luruh dari perasaan

Masih bertanya
Benarkah ini?
Kadang terpinga
Dalam terima

Berjanji-janji
Diri sendiri
Berpada-pada
Meluah rasa
Berhati tabah
Segala indah
Bersama tuhan
Aku teruskan...

Thursday, August 10, 2006

Jemputan ke laman tuhan

Saat-saat menerima beberapa berita kematian dan kehilangan yang tidak diduga menjadikan detik dan saat seakan berhenti seketika. Bagai tersedar dari lena yang panjang sesungguhnya hakikat kehidupan yang tidak mampu ditolak adalah bila tibanya saat maut menjemput. Maka sebagai seorang insan kita sebenarnya tidak pernah bersedia dengan ketibaan janji tuhan terhadap dunia yang dipinjamkan.Bersedia yang bagaimana? Adakah masih ada benci dalam hati... adakah masih ada sangsi dalam diri... Adakah amalan dan bekalan mencukupi... Adakah berakhirnya hayat kita meninggalkan kesenangan pada orang yang ditiggalkan atau mencatatkan kenangan seusia zaman? Atau masih bersisa benci dalam ingatan orang, menzahirkan kematian itu adalah satu rahmat setelah berakhirnya satu episod kehidupan.
Berkesempatankah kita melebarkan maaf kepada insan-insan yang pernah kita lukakan hatinya. Berpeluangkah kita meraih senyuman orang pada kita sebelum kita menutup mata. Mampukah kita melafazkan dua kalimat dalam senyum manis, puasnya menatap kehidupan indah yang ditinggalkan.
Biar abadi kita di laman tuhan dengan tenang dan damai, sejuk dengan siraman doa dan ingatan dari setiap insan.

Sunday, July 09, 2006

Yang menuntut dan menghambat

Hari-hari yang dilalui semakin lama semakin sarat dan menyesakkan. Entah kenapa aku rasa semakin hari tugas semakin memberat hingga aku tak punya masa untuk berfikir dan meneliti. Segalanya menuntut aku untuk bertindak pantas hingga aku gagal untuk menentukan yang mana satu adalah prioriti. Akhirnya, keperluan diri sendiri menjadi yang paling akhir aku letakkan. Buktinya, sekali lagi rancangan untuk bercuti terpaksa dibatalkan demi memenuhi tanggungjawab terhadap orang lain.

Tidak adil rasanya mengeluh kerana kesibukan bekerja kerana aku sendiri yang memilih untuk bekerja begini. Tidak adil juga untuk mengenepikan keluarga sendiri sedangkan merekalah yang banyak berkorban untukku selama ini. Satu-satunya hujung minggu yang aku boleh beristirehat dan keluar dari kesibukan terpaksa aku korbankan kerana terpaksa menguruskan kemasukan adik perempuanku dan sepupu lelakiku ke UIA. Walaupun keletihan, aku tetap mampu melayan keluarga yang datang dari Johor ke rumahku, menyelesaikan semua urusan berkaitan kemasukan dan pendaftaran. Mana mungkin aku ketepikan mereka kerana selama ini merekalah kekuatanku.Rasa puas melihat seorang demi seorang adik dan sepupuku menjejakkan kaki ke menara gading dan aku menjadi sebahagian dari segala kegembiraan itu.

Walau apapun aku tetap seorang perempuan. Kepenatan akan aku akhiri dengan tangisan juga. Sebabnya, masa yang terhad membuatkan aku tak punya masa untuk meluahkan segala rasa. Tekanan, keletihan tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Akhirnya aku hanya mampu menangis untuk meredakan segala gelodak hati dan perasaan. Selain blog ini yang membolehkan aku melahirkan segala rasa dengan untaian kata-kata.. itu yang mampu aku lakukan dalam gelap dan senyap.

Semoga aku masih punya ruang untuk memenuhi segala impian. Semoga aku masih dikurnia kekuatan menghadapi segala hambatan dan cabaran.

Thursday, June 01, 2006

Kisah cermin mata - version ??

Ini kisah cermin mata milik housemate, classmate, mastermate, officemate and other a few mates lagilah. Cermin mata tiba-tiba jadi subjek matter yang dikaitkan dgn perhubungan dan persahabatan kami. Kerana cermin mata my mate yg lebih suka dikenali sebagai Cik I, kami tahu ramai yang sayang dan concern tentang kami. Thanks a lot S1, S2 and maybe juga R. Emm... rasa terharu.
Mungkin tak ramai yang tau Cik K, Cik I close to each other. Ramai juga tak tau Cik I dan Cik K duduk serumah dekat dua thn walaupun sama pejabat dgn kami. Sbb Cik I dan Cik K rapat tapi tak terikat. Kadang-kadang nampak renggang tapi hubungan bukan tegang. Mungkin tak ada yang tau kot macamana Cik I dan Cik K boleh berkawan. Kisahnya di Cameron Highland bila Cik K berjaya memutuskan hubungan Cik I dengan bekas bakal boyprennya yang juga bekas schoolmate Cik K. Sadis bukan?? Tak lama lepas tu Cik I dan Cik K tinggal serumah kat taman samudra.
Cik I dan Cik K masing-masing ada kehidupan sendiri. Falsafah dan falsampah mudah ajer, TRUST & RESPECT. Cik I dan Cik K tak pernah ganggu privacy masing-masing. Masing-masing boleh pergi kemana suka, berkawan dengan sesapa, keluar dengan sesapa, selagi tak membawa musibah dan keburukan. Tapi Cik I dan Cik K tau, sama-sama boleh percaya satu sama lain. Biar pecah di perut. Boleh cerita yang peribadi, tanpa susah hati.
jadi, isu kereta, isu duduk asing-asing dalam kelas, lain-lain group assignment dan apa-apa isu yang sewaktu dengannya... are irrelevant. Buat S1, S2, dan mungkin juga R..cermin mata yang retak dan pecah sbb pintu kereta hanyalah perantara untuk memastikan mesej ini sampai pada semua. Dan jadi bukti bahawa tak ada krisis antara Cik K dan Cik I. Tapi Cik K memang suka la.. sbb korang memang ambil berat hal-hal sebegitu. Boleh jadi kawan dunia akhirat.Hope.. persahabatan berkekalan sampai bila-bila.

Jangan mare ye kawan-kawan...Good Luck. Love all of you

Monday, May 29, 2006

Ingin kugapai awan..


Tangan ingin menggapai awan.. namun kaki terpasak ke bumi.
Tapi aku bukan kiambang,
Pucuk tidak mencapai awan.. akar tidak mencecah bumi.
Aku juga bukan burung yang bebas.. terbang tinggi kemana pergi
Bukan juga di dalam sangkar.. melihat kebebasan dari jeriji.

Ada sesuatu yang dipinta
Ada sesuatu yang perlu diberi
Perjanjian telah termeteri
Persetujuan termaktub kini

Aku akan terus berdiri dan berpaksi di sini
Namun masih boleh berlari menjejak pelangi
Hari ini adalah peluang yang datang
Hari esok masih panjang untuk diperjuangkan

Aku hidup bukan untuk diriku seorang...

- To be the best version of myself - Aku adalah aku

Thursday, May 25, 2006

Bila nanti..

Bila lagi
Akan aku berhenti menanti
Bila kelak
Rasa hati kutolak

Sabar berharap
Mimpi digarap
Tunduk berserah
Jiwaku pasrah

Memang terluka
Mengasah cinta
Tentu terguris
Sukma terhiris

Hadirkah lagi
Kasih di hati
Bila nanti
Seorang datang seorang pergi

AITI
26 Mac 2006

Monday, May 08, 2006

Salam sayang buat ibu tersayang - Selamat Hari Ibu


Tiada apa yang lebih menggembirakan
Selain melihat manisnya senyuman
Tiada apa yang lebih mendamaikan
Selain merasa nikmat belaian
Tiada apa yang boleh menenangkan
Selain berada di pangkuan
Ibu tersayang..

Semilir lalu kukirimkan khabar rindu
Dalam dingin kalbu kubisik ingatan buatmu
Ibu yang sentiasa dihati
Ibu yang telah banyak memberi
Takkan dapat kucari ganti
Untuk seorang ibu anugerah tuhan buatku.

Gembira ibu membuat duniaku indah
Tangisan ibu membuat kalbuku gundah
Doa ibu membuat aku semakin tabah
Semangat ibu membuatku semakin kuat

Terima kasih ibuku...
Atas segala yang kau korbankan
Tiada wanita lain di dunia ini boleh menandingi ibuku.

Monday, April 24, 2006

Pantun Mabuk Bercinta..



Agak lama rasanya pantun-pantun tidak menghiasi blog ini. Ini kumpulan pantun terbaru, ideanya datang semasa mengendalikan bengkel pantun di matrik UIA beberapa bulan lalu.

Pantun mabuk cinta...

Sini Biduk Sana pun biduk
Biduk lalu di selat Melaka
Tuan Mabuk Saya pun Mabuk
Sama-sama mabuk bercinta

Biduk lalu di Selat Melaka
Dari China membawa candu
Sama-sama mabuk bercinta
Siang malam asyik merindu

Dari China membawa candu
Untuk dihantar ke pulau jawa
Siang malam asyik merindu
Dalam mimpi terbawa-bawa

Untuk dihantar ke pulau jawa
Penuh sebakul si buah kundang
Dalam mimpi terbawa-bawa
Dalam jaga terkenang-kenang

Penuh sebakul si buah kundang
Letak di tanah buah kelapa
Dalam jaga terkenang-kenang
Bila lagi boleh berjumpa

Letak di tanah buah kelapa
Hendakkan santan ambillah satu
Bila lagi boleh berjumpa
Bagai terhenti saat dan waktu

Hendakkan santan ambillah Satu
Makan dengan hirisan kuini
Bagai terhenti saat dan waktu
Sampai sakit hatiku ini.

Pantun ni hobi jer.. mesti teruk kena 'fire' jap lagi.

Wednesday, April 12, 2006

Satu Transmisi... Deputy Dean SCS


1 April 2006 - satu lagi episod dalam hidup dimulakan. Tidak pernah direncana dalam ruang fikir diri yang terhad, tidak juga bersedia menerima. Namun siapalah diri untuk menolak rencana dari tuhan... lain yang menjadi andaian dan bualan lain pula yang dihamparkan. Mungkinkah ini yang dicari??
3 April 2006 - Dalam tidak bersedia menerima, diri gagahi juga... tahu dan pasti cabaran menanti. tahu dan pasti ada hikmah tersembunyi.
7 April 2006 - konflik transmisi tak boleh dielakkan juga... ini satu permulaan bukan akhir kehidupan. Teruskan bertahan.
10 April 2006 - Mencari dan terus mencari persamaan. Memujuk dan terus memujuk perasaan. Menolak dan terus menolak keegoan. Melebur dan terus melebur keangkuhan.
12 April 2006 - Kehidupan harus diteruskan.... biar seribu ranjau dihadapan.

Thursday, March 02, 2006

Imbasan Road to Success III - Dedikasi buat CCGD




Sekalung tahniah buat warga CCGD (Counseling and Career Guidance Department) dan petugas-petugas jemputan (Mashitah & Fauzan) atas kejayaan menamatkan misi RTS III di Tanjung Bidara Beach Resort pada 24-26 Februari lalu. Program wajib setiap semester yang sentiasa menjadikan kehidupan kaunselor tidak keruan dari hari pertama semester hinggalah ke hari terakirnya.
Sesekali terdetik..berbaloikah pengorbanan, terbayarkah masa yang diperuntukkan untuk pelajar-pelajar yang bermasalah dalam akademik.. tidak sempat kering rasanya air mata terharu melihat pengorbanan semua. Kak atie yg baru lepas menjalani 2 pembedahan, Dina dengan baby yang masih merah (baru beberapa hari habis maternity leave), Zana dengan baby yang baru beberapa bulan, ummi Amirul (Akma) dengan suami yang terpaksa berkejar ke IIC untuk new intake dan semua yang ada. Masing-masing dengan rela hati menghabiskan hujung minggu dan lelah dengan berpura-pura bercuti di pusat peranginan sedangkan terpaksa "menggajikan" suami masing-masing demi tanggungjawab yang dipikul.

Adakalanya memang sukar dimengerti. Dalam rungutan yang panjang, dalam keluhan yang tak pernah berhenti, kekuatan masih lagi berpaksi di sanubari semua kaunselor demi anak bangsa. Dengan pelbagai karenah dan masalah yang ditimbulkan, kaunselor masih lagi memberi ruang untuk anak-anak didik meluah rasa, berkongsi cerita yang selalunya sengsara dan duka. Sedih dan luka. Entah dari mana datangya, marah bertukar sayang. Benci bertukar simpati. Minda tak pernah berhenti berfikir dan mentafsir. Lantas hati yang terguris dan tercalar dek sikap dan kenakalan mereka sudi memaafkan dan memberi peluang. Alangkah mulianya.

Semoga segala pengalaman boleh dijadikan panduan.
Semoga segala pengorbanan mendapat tempat di mata tuhan.

Tuesday, February 28, 2006

Pasca 2nd Convocation Ceremony

Berakhir jua sengsara walaupun kesannya masih ada. Lewat perlantikan sebagai Director convo aku sebenarnya tidak yakin dapat melakukannya. Aku melihat diriku sebagai seorang perempuan biasa dengan saiz yang kurang meyakinkan untuk melakukan tugas berat seorang event director. Pada ketika itu aku melihat di hadapanku puluhan lelaki-lelaki macho, lebih dewasa, matang dan berpengalaman yang lebih sesuai memegang tanggungjawab itu. Dalam kebimbangan aku terima tugas tersebut dengan separuh hati. Dengan beban tugas sedia ada sebagai lecturer dan kaunselor (ada program yang tertangguh - RTS III), timbunan assignment kelas master, hambatan tuntutan keluarga yang tiba-tiba ditimpa ujian dan dugaan tuhan, juga tuntutan untuk memberi perhatian kepada mereka memandangkan ayahanda tersayang ke tanah suci menunaikan fardhu haji. Semestinya sebagai anak sulung aku mesti menjaga amanah ayahanda untuk lebih mengambil berat hal keluarga.
Namun kupujuk hati agar lebih tabah dan bersedia dengan sebagai kemungkinan. Bukan mudah menyambung tugas orang lain. Dan seperti dijangka, pelbagai masalah, kesukaran, konflik timbul di pertengahan usaha. Dalam hatiku, aku sedang melalui cabaran finale "The Apprentice", rancangan kegemaranku. Kukawal emosi yang seringkali berombak dan bergelora berhadapan masalah yang bertimpa-timpa dan tidak diduga higgalah ke saat akhir acara. Jauh di sudut hatiku, aku bangga dengan diriku sendiri yang berjaya menahan segala rasa dari terbit dan dibaca oleh seluruh rakan kerja walaupun hampir-hampir kuhamburkan segala resah gelisah dan gundah.
Aku juga berbangga dengan semangat seluruh warga kerja yang inginkan yang terbaik untuk keseluruhan acara majlis konvokesyen. Walaupun batasan masa, keluarga, kesihatan, tugasan sedia ada sentiasa menghambat, boleh kukatakan kerjasama erat dan semangat berpasukan menjadikan event ini satu kejayaan besar buat semua. Maaf jika apresiasi tidak seberapa berbanding pengorbanan yang telah diberikan berbulan lamanya. Siapa aku untuk membalas budi baik dan jasa. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Mr. CEO yang memberi ruang untuk aku membuat banyak keputusan tanpa dipersoalkan. Juga kepada ex-director yang sanggup turun padang pada hari rehearsal dan membantu melaksanakan tugas2 di hari acara berlangsung demi memastikan semuanya berjalan dengan lancar walaupun sepatutnya duduk di kerusi VIP. Kepada ex-staff IIC, terima kasih kerana sudi bersama.
Hingga saat catatan ini dilakarkan, suaraku yang hilang pada hari rehearsal masih belum pulih sepenuhnya. Kertas ujian pun baru hari ini kuserahkan pada pelajar, presentation kelas master yang masih tertangguh lagi entah bila boleh dilangsaikan, ayahanda yang baru pulang dari tanah suci pun aku sempat temui sehari cuma. Pendek kata...bukan mudah untuk cover semua perkara yang aku tinggalkan semata-mata untuk convo. Kesihatan pun belum betul-betul pulih sepenuhnya. Terlalu banyak dan mahal harganya untuk aku menyelesaikan tugas tersebut. Namun aku tahu pasti ada kebaikan menanti. Semoga aku terus tabah lagi dan berupaya mengekalkan apa yang aku miliki.

Wednesday, January 04, 2006

Selamat tinggal semalam...2005

Kesimpulan perjalanan 2005.
Seribu satu peristiwa dan kenangan. Seribu satu dugaan dan cabaran. Daripada saat-saat perlantikan sebagai kaunselor di kolej, warden asrama puteri, paksarela mengikuti kelas kaunseling di UIA, terpaksa membatalkan hasrat memulakan kelas master di UTM dan...banyak lagi yang tak sanggup untuk dikongsi di sini. Namun hari ini aku tetap mengakui yang segala bentuk cabaran tersebut telah menjadikan aku manusia yang lebih baik dari semalam. Lebih banyak belajar dari pengalaman, matang menghadapi masalah, konflik dan tekanan, emosi yang lebih terkawal, lebih bijak mengatur masa untuk kerjaya, keluarga dan urusan peribadi. Entah berapa banyak air-mata yang tumpah ...

Fajar 2006.
Bermula Disember 2005, bayang-bayang perubahan mula terasa. Tuntutan kerjaya bertambah... kesibukan bercambah (perkara biasa bagiku). Tuntutan peribadi juga berlipat ganda. Sibuk berfikir... azam setahun lalu tertunai sudah? Carry forward ajelah. Macam cuti tahunan yang sentiasa carry forward. Tapi perjalanan hidup kita bukan semata-mata atas perancangan kita sendiri. Kun-fayakun... 1st Disember 2006 - dapat kereta baru (Satu permulaan yang baik menyambut tahun baru). Siang dan malam mimpikan MyVi baru..Gen2 yang parking di depan rumah. Alhamdulillah... satu pencapaian setapak lagi. 24 Dsember 2005- mendaftar kelas master UTM (moga dapat ditamatkan mengikut jadual). Juga permulaan yang baik menyambut tiba 2006. Kerjaya? moga maju setapak lagi. Ini baru januari... ada 12 bulan menanti. Cabaran?? banyak...yang paling hampir ialah mengetuai majlis Convocation kedua kolej. Yakinkah aku? Bukan mudah untuk jadi event manager. Apatah lagi aku hanya seorang perempuan... diminta mengendali dan menguruskan acara paling besar yang pernah dianjurkan oleh kolej setakat ini. Aku terima dengan hati terbuka dan berazam akan membuktikan kemampuanku.
Personal Performance Target 2006.
1. Keputusan dengan CGPA lebih 3.5 master UTM
2. Publish OpenOffice Training Manual
3. Siapkan Novel yang terbengkalai (kak del...pasti hit macamana?)
4. Mengendalikan OpenOffice Training di IIC
5. Menyediakan Training Module - Stress Management & Study skills

Arrgh!! banyaknyer....
If You Want to be.. What You Want to be..
Believe that You can be... What You Want to be...
* Idealistic sangat ke target aku ni?