Sunday, November 19, 2006

Ramadhan, Syawal, Peperiksaan dan Pekerjaan.

Baanyak.. sangat nak cerita. Ikut topik la ye.

1. Ramadhan
Ramadhan tahun ini adalah ramadhan yang sangat mencabar bagiku. Yang penting hanyalah berpuasa. Selebihnya aku bergelumang dengan assignment dan kerja pejabat yang tak pernah habis. Ada antara hari-hari dalam Ramadhan kali ini yang aku duduk di depan komputer dari waktu berbuka hinggalah waktu sahur. Ada hari-hari yang aku hampir terlupa dengan berbuka puasa. Mujurlah ada rakan-rakan yang mengingatkan. Jika tidak mungkin aku lupa diri seketika. Ramadhan kali ini masa sangat terbatas untuk membolehkan aku berjamaah di masjid seperti dahulu. Mulanya agak kesal terasa namun kupujuk hati kerana aku bukan sengaja membuang masa. Menuntut ilmu juga satu kewajipan.

2. Syawal
Hampir terlupa bila masanya syawal menjelang. Terasa Ramadhan sangat singkat hinggakan aku langsung tidak bersedia untuk menyambutnya. Namun panggilan telefon dari emak di kampung menyedarkan aku ada banyak kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kebiasaannya aku yang menguruskan baju raya adik-adik dan kuih-muih, kali ini aku bagaikan tak wujud. Tak langsung ada dalam fikiran untuk menyambut hari raya. Terasa sungguh yang aku sangat diperlukan oleh mereka.
Syawal yang tiba kusambut seperti biasa walaupun tahun ini agak luar biasa jumlah tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang lebih luar biasa ialah syawal kali ini aku habiskan dengan menghadap komputer berbanding menonton rancangan TV. Syawal kali ini hanya sehari saja kuperuntukkan untuk berkunjung ke rumah saudara-mara. Itu pun yang berdekatan dengan rumah. Syawal kali ini jugalah aku hanya menghabiskan cuti hingga hari ketiga di kampung. Berkorban demi pelajaran.

3. Peperiksaan
Musim peperiksaan bermula sebaik saja cuti hari raya berakhir. Bukan saja peperiksaan Master tetapi juga peperiksaan di kolej. Aku menjadi sangat sibuk. Tugas di pejabat terlalu banyak menjelang minggu peperiksaan. Dalam masa yang sama aku perlu study untuk peperiksaan sendiri. Assignment tak pula habis-habis. Bila boleh membaca jika assignment tak siap? Besar sungguh cabaran. Aku terpaksa melalui antara saat-saat paling tertekan dalam hidupku. Saat apabila hampir semua meminta aku melakukan semuanya dalam masa yang sama. Aku hanya satu, kudratku terhad, masa juga terbatas. Aku mula tidak kenal malam dan siang. Semuanya sama bagiku. Walaupun sangat perit dan sakit kugagahkan juga.

4. Pekerjaan.
Menjadi pendidik adalah pekerjaan yang aku suka walaupun aku agak lambat mengetahuinya. Aku rasa aku antara pendidik yang digemari di kolej tempatku bekerja. Ini berdasarkan komen dan penilaian pelajarku sendiri. Mungkin kebiasaan berdebat mengasah bakatku dalam bidang ini. Namun kebelakangan ini aku rasa aku bukan lagi pendidik yang baik, kreatif, bersemangat dan melakukan tugasku dengan sepenuh hati. Tugas-tugas pengurusan menjadikan aku tidak punya masa untuk melakukan perkara yang dulunya aku lakukan. Aku menjadi lebih serius, sensitif juga sangat kejam adakalanya. Masa untuk melayani kerenah pelajar semakin sedikit dan kadangkala tiada langsung. Perebutan antara kaunseling dan SCS juga semakin ketara. Sumbanganku terhadap kaunseling semakin berkurangan, fokus hilang dan aku semakin banyak menolak untuk menjalankan sesi kaunseling. Tidak tahan dengan kesibukan dan tidak gembira dengan tugas sebagai timbalan dekan, aku menulis surat perletakan jawatan pada ulang tahun kelahiranku. Aku pohon agar aku boleh kembali seperti aku yang dulu. Yang cergas, ceria dan bersemangat.

1 comment:

Norziati Mohd Rosman said...

Kadangkala kita perlu lari seketika dari rutin dan kembali semula dengan semangat baru.

Tetapi, sudah hampir ke penghujung tahun ya, dan kesibukan bagai tidak mengenal noktah.