Saturday, August 20, 2005

Catatan 14: Salam dari bawah bayu


Salam buat semua...
Ketika catatan ini ditulis: malam ketiga menghabiskan malam di promenade hotel, Kota Kinabalu
Indahnya malam bersaksikan kerdipan bintang dari tingkat 8 promenade yang jendelanya berhadapan dengan lautan luas saujana mata memandang. Ahh...indahnya bumi orang, tiada jerebu..tiada kesesakan. Walaupun kedudukan kami betul-betul di pusat bandar namun kami seakan-akan berada di pekan kecil yang serba sederhana. Apapun, malam kedua aku dah mula rindukan Taman Koperasi Polis Fasa II terutamanya rumah no 22, Jalan 47/10. (rumah saper tu yer??) tak lupa juga BER3826. Rasa janggal pulak kat sini kena jalan kaki.
Apapun aku di sini membawa misi universiti tempat aku menimba ilmu dan pengalaman. Berbakti kepada yang sudi, membantu apa yang perlu. Bersama kontingen 4 orang pelajar, seorang lagi jurulatih dan seorang pegawai universiti. Kami di sini membawa misi mengekalkan kejuaraan debat yang sama di UITM tahun lalu, memperbaiki pencapaian debat FOMCA minggu lepas, mengulangi sejarah kemenangan bergaya pada debat Alam Sekitar di UTM bulan lalu di samping menghakimi pertandingan pusingan awal pertandingan debat ini. Ini tentunya bukan satu tugas yang main-main atau mudah bagiku. Dan ini bukanlah satu percutian atau pelarian dari hiruk -pikuk Kuala Lumpur dan lambakan tugas-tugas rasmi dan tidak rasmi di IIC juga APC.
Namun misi mengekalkan kemenangan dan mencapai kemenangan bukanlah yang paling utama bagiku. Yang penting kehadiranku di sini dapat memberi kekuatan moral kepada pasukan, mengekalkan semangat pertandingan yang positif, memastikan emosi para pendebat universiti sentiasa terkawal dan yang aku suka dan aku mahukan ialah perjalanan ini akan menjadi satu memori yang kami tidak boleh lupakan.
DEBAT bukanlah semata-mata untuk menjulang piala kejuaraan. DEBAT ialah gelanggang tempat manusia-manusia menggerakkan segala daya fikiran, menguji kekuatan minda untuk memahami, menganalisa dan menyampaikan sesuatu menggunakan kaedah yang paling baik agar difahami oleh setiap orang yang mendengar. DEBAT adalah seni bagaimana kita mampu meyakinkan orang lain melalui kata-kata dan seni menilai sesuatu dari pelbagai dimensi. Tidak ada yang paling betul dalam DEBAT dan tidak ada yang paling salah dalam DEBAT. Yang ada hanyalah kemampuan kita menunjukkan dan meyakinkan orang bahawa yang kita kata salah adalah salah dan yang kita kata betul adalah betul. Dalam DEBAT bukan kepetahan dan kelantangan suara semata-mata menjadi ukuran namun bagaimana kita mengawal diri dan emosi agar segala penghujahan dapat disampaikan dengan penuh wibawa dan terpuji. DEBAT bukan gelanggang untuk berlatih menjadi ego dan tinggi diri. Juga bukan pentas tempat mengasah bakat menjadi seorang yang penentang dan pengkritik. Namun dalam DEBAT segala pancaindera kita digerak dan dirangsang. Itulah DEBAT yang sehingga kini aku yakini aku hari ini boleh berbangga dengan diriku sendiri. Aku hari ini dibentuk sebahagian personaliti, peribadi dan sikap melalui asuhan debat yang aku terima sejak Tingkatan Enam di Sek. Men. Benut hinggalah tamat tahun akhirku di Universiti Islam Antarabangsa. Kerana itulah aku masih sanggup pulang lewat malam setiap hari untuk menyumbang kepada pasukan debat universiti. Kerana itulah aku masih sanggup memandu beratus batu hanya mahu melihat sokongan padu. Kerana itulah aku masih sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk bersama adik-adik debatku. Sesungguhnya aku masih menghargai segala ilmu pengatahuan melalui DEBAT dahulu sehingga kini.

Wednesday, July 20, 2005

Catatan 13: Am I Fail???

  • Failure doesn't mean that you are a failure... It just means you haven't succeeded yet.
  • A pessimist is one who makes difficulties of his opportunities; An optimist is one who makes opportunities of his difficulties

Thursday, June 09, 2005

Catatan 12: Lewat peperiksaan PTD - Betul ke???

Aku pergi walaupun belum pasti
Aku cuba walaupun belum terasa
Aku ingin walaupun macam tak mungkin

Betul ke???

Bila aku pergi - aku mesti
Bila aku cuba - aku nak berjaya
Bila ada yang aku inginkan - aku sambut segala cabaran.

Betul ke???

Ini aku... yang masih kenal diriku sendiri,
Walaupun seringkali aku rindukan diriku yang dulu.

Wednesday, June 01, 2005

Catatan 11: Kehilangan

Apabila esok semakin samar untukku
Semakin sayang untuk aku melepaskan peluang yang terbentang hari ini.

Sesungguhnya aku masih belum mampu untuk berjauhan
Apatah lagi menghadapi kehilangan yang saban waktu mengejarku.

Tuesday, May 31, 2005

Catatan 10: Menanggapi dan menangani masalah

Intipati yang dipelajari dari Kelas Kaunseling di UIA:
3 pilihan bila kita menghadapi masalah:
  • Berhadapan dengan masalah dan berusaha menyelesaikannya
  • Melarikan diri daripada masalah
  • Kekal dalam masalah

Kita sentiasa punya pilihan dan setiap pilihan ada risikonya sendiri. Jangan takut mengambil risiko namun kita perlu bersedia. Ada harga yang perlu dibayar untuk sesuatu yang kita inginkan dan impikan.

Thanks..

Dr. Aminah Hashim, warga APC (lecturers and staff) dan classmates Diploma Kaunseling APC, UIA

Terima kasih kepada takdir yang mempertemukan kita semua.

Wednesday, May 25, 2005

Catatan 9: Pantun air mata

Ditulis pada 12 Januari 2003, 11.55pm

Bunga sekuntum tidak dikarang
Pegaga menjalar sulur bertaut
Sudah maklum miliknya orang
Mengapa dibiar hati terpaut.

Pegaga menjalar sulur bertaut
Tumbuh merata di celah pandan
Mengapa dibiar hati terpaut
Kelak terluka merana badan.

Tumbuh merata di celah pandan
Indah bungaan gugur melata
Kelak terluka merana badan
Mimpi berteman si air mata.

Indah bungaan gugur melata
Memagar desa pohon mengkudu
Mimpi berteman si air mata
Hati hiba diulit rindu.

Memagar desa pohon mengkudu
Sisi kepayang pohon berangan
Hati hiba diulit rindu
Kasih dan sayang tinggal kenangan.

Tuesday, May 24, 2005

Catatan 8: Yang belum selesai...

Kini baru disedari ada banyak perkara yang perlu diselesaikan dan ia semakin bertambah hari demi hari. Ada yang sengaja dibiarkan terbengkalai... ada yang sengaja malas untuk difikirkan. Namun selagi ia tidak diselesaikan, ia akan kembali dan menghantui.

Friday, May 20, 2005

Catatan 7: Sarat dan berat..

Hari-hari yang dilalui semakin sarat dan berat...
dan aku semakin kejam dengan diriku sendiri...
Mampukah aku???

Thursday, May 19, 2005

Catatan 6: Monolog seorang aku...

Aku berjalan...tanpa aturan
Aku berlari...sambil mencari
Aku merangkak...teragak-agak
Aku berdiri...berhari-hari
Menanti sepi berlepas pergi.

Aku berdayung...tiada penghujung
Aku melangkah...tiada arah
Aku terbang...terawang-awang
Memandang hadapan tanpa haluan.

Aku menari...rentakku sangsi
Aku menyanyi...tanpa melodi
Aku sendiri...alamku sunyi
Menganyam mimpi di malam hari.


18/5/2005 - Mid Valley/Desaview

Monday, May 16, 2005

Catatan 5: Biarkan CINTA itu pergi...

Adaptasi dari novel pertama... dah keluar nanti beli yer...

Entah kenapa CINTA itu boleh datang. Puas sudah rasanya kularang rasa dari menerima CINTA. Ada orang kata CINTA keramat, Ada orang kata CINTA nikmat, ada orang kata CINTA hakikat. Tapi aku rasa CINTA musibat, CINTA buat aku lupa, CINTA buat aku terdera, CINTA buat aku tersiksa. CINTA sepatutnya ubat mujarab tapi CINTAku membawa mudarat. Lebih indah rasanya tanpa CINTA. Bila kita memiliki CINTA... kita mula takut akan kehilangannya. Dan rasa takut akan kehilangan itulah yang benar-benar perit dan sakit.
CINTA ada di mana-mana. CINTA datang sendiri, CINTA sejati...CINTA sebati dalam diri. Aku wujud kerana CINTA. Aku lahir dari ladang CINTA. CINTA yang manis dari pohon yang subur. Namun CINTAku subur disiram air mata. CINTAku manis hanya bila tiba musimnya. Bila musim berubah...Daun CINTAku luruh, Batang CINTAku merunduk, Bunga CINTAku layu, Akar CINTAku rapuh. Tinggallah CINTAku menanti musim baru tiba dan pucuk CINTA bertunas semula. Aku dan CINTA hanya satu mimpi, Aku dan CINTA hanya satu retorik, Aku dan CINTA...tak mampu sebati. Aku merindui CINTA itu.... namun aku biarkan CINTA itu pergi....

Friday, May 13, 2005

Catatan 4: Disukai atau Tidak Disukai...

Pengajaran hari ini....
Dalam hidup, menjadi harapan pada kita untuk disukai oleh semua orang, disayangi oleh semua orang, dihormati oleh semua orang. Namun kita tidak boleh memaksa semua orang untuk menyukai kita. Kenapa? kerana kita dijadikan berbeza-beza antara satu sama lain. Kita ada hak untuk tidak menyukai orang lain yang berbeza dengan kita dan kita tidak punya hak untuk memaksa semua orang menyukai kita. Renungkan diri kita, memang kita akan punya musuh dan tidak bersetuju dengan seseorang, dan bersetujulah jika memang ada orang yang tidak bersetuju dengan kita.
Adalah biasa menemui orang yang tidak menyukai kita... adalah bahaya jika semua orang seolah-olah menyukai kita... tetapi rupa-rupanya hanyalah berpura-pura.

Thursday, May 12, 2005

Catatan 3: Menghadapi kegagalan....

KEGAGALAN...
Apa yang kita maksudkan kegagalan biasanya hanyalah berpaksikan pada apa yang kita rasa dan persepsi kita sendiri. Kegagalan adalah cabaran bagi sesetengah orang... namun kegagalan adalah ujian bagi yang lain pula. Kegagalan boleh membuatkan kita jatuh tersungkur, terduduk dan tak mampu bangun-bangun lagi. Kegagalan juga boleh menjadikan kita semakin kuat, tabah dan semakin tegar hari demi hari. Kegagalan mengajar untuk orang-orang yang mengambil pengajaran darinya. Namun ramai orang yang hanya mengambil keperitannya dan terus menjadikan keperitan itu sebahagian dirinya....
.....................................
Semalam aku pernah
menyusun bilah pelangi
bila panas datang... pelangi pergi.
...........................................................
Semalam aku pernah
menggapai langit tinggi
bila guruh datang...langitku menangis sendiri.
................................................................................
Semalam aku pernah
memetik bintang berseri
bila mendung datang....bintangku sembunyi.
.................................................................................
Semalam aku pernah
memuja bulan kuimpi
bila mentari datang...bulan diam dan pergi.
.............................................................................
Semalam aku pernah
berdiri mendongak diri
bila ombak datang... aku tersungkur lagi.
........................................................................
Jadi insan pilihan
biar bertahan diuji tuhan
biar bibir bersimpul senyuman
walau jiwa gundah dan rawan.

Wednesday, May 11, 2005

Catatan 2: Interpretasi kehidupan....

Kita punya ruang untuk berkongsi tanggapan tentang setiap perkara. Kehidupan diberi melalui hirupan dan hembusan nafas yang sama namun seni kehidupan berbeza mengikut acuan, persekitaran kelahiran kita dan bagaimana kita dibesarkan. Perbezaan tanggapan dan pemikiran mungkin menimbulkan banyak salah faham dan kekeliruan. Namun ia juga yang menjadikan dunia ini warna-warni, unik, indah dan misteri. Banyak perkara perlu difikirkan tentang hidup dan kehidupan.Dan kita bebas dengan interpretasi kita sendiri tentang apa itu kehidupan dan segala yang terkandung di dalamnya selagi mana ia tidak menyalahi agama yang kita anuti... selagi tidak untuk mempertahankan egois diri...
Liar Bidara akar bercambah
Sepohon tumbuh tepian kali
Biar bicara akal bercanggah
Namun bermusuh jangan sekali

Tuesday, May 10, 2005

Catatan1:Di sini bermula....


Dengan satu nafas bermulalah satu kehidupan,
Dari satu langkah bermulalah satu perjalanan,
Dari satu hembusan angin bermulalah satu pelayaran...

Garis kehidupan boleh bermula dari mana-mana sahaja ia ditakdirkan,
Titik kehidupan boleh pula berakhir di mana-mana sahaja ia direncanakan.