Wednesday, September 16, 2009

Munjung

Alhamdulillah...Ramadhan akan berakhir beberapa hari lagi. Esok saya akan mula bercuti. Tahun ni setelah dipersetujui bersama, saya dan suami akan menyambut 1 syawal di Pulau Pinang. Biasanya, hari-hari terakhir ramadhan ni saya telah pun mula bercuti dan pulang ke johor membantu mak buat persiapan hari raya. Almaklumlah... anak sulung. Daripada penetapan warna tema baju raya sampailah ke menu dan kuih-muih, sayalah yang biasanya mengaturkan. Tahun ni? Erm... sungguh berbeza.

Satu perkara yang terbayang di mata saya ketika ini ialah tradisi munjung. 'Munjung' adalah tradisi masyarakat jawa di mana pada hari-hari perayaan mereka akan bertukar-tukar juadah. Dahulunya, ia dilakukan pada pagi hari raya. Sambil mengunjungi sanak-saudara kami akan menjinjing mangkuk tingkat atau dipanggil 'rantang' yang berisi ketupat dan juadah lain. Kemudian tuan rumah akan membalas 'punjungan' tersebut dengan mengisi semula 'rantang'.

Disebabkan peredaran masa, tradisi munjung ni telah diubahsuai sedikit sekarang. Antaranya:
1. DULU munjung dilakukan pada pagi 1 syawal ketika berkunjung ke rumah sanak-saudara. SEKARANG munjung dilakukan lebih awal (bermula seminggu sebelum hari raya). Sebabnya: kalau semua orang membawa juadah pada pagi raya, meja makan akan penuh macam pasar ramadhan. Da makanan akan terbazir begitu sahaja. Bayangkan mak saya akan menghantar juadah kepada 20 keluarga dan terima balasan sebanyak itu juga.Siapa nak makan?

2. DULU munjung menggunakan mangkuk tingkat. SEKARANG isi saja dalam plastik dan polisterin. Sebabnya: Lebih mudah, tak perlu mencuci bila nak membalas. Dan tak perlu beli banyak-banyak mangkuk tingkat. (Takkan nak beli sampai 20 mangkuk tingkat?).



3. DULU kami anyam ketupat daun kelapa untuk munjung. Kadang-kadang sampai 200 biji. Macam-macam bentuk ada. SEKARANG beli saja ketupat segera. Macam-macam jenama ada.
Sebabnya: Lebih mudah dan cepat. Tak perlu susah payah panjat pokok kelapa dan menganyam. Lagipun ketupat segera lebih tahan lama. Memasaknya pun tidak perlu lama sangat macam memasak ketupat daun.

4. DULU lauk-pauk standard - rendang, kuah kacang, lodeh, sambal goreng, serunding, ayam/daging masak merah/kicap, pecal/rojak. SEKARANG ada kepelbagaian. Mak pun kadang-kadang munjung nasi ayam, lauk pun berbeza sikit. Ada sambal udang, ada ikan bawal, kadang-kadang ikan bakar dsbg. Jemu katanya asyik masak lauk yang sama setiap tahun. Dan dari feedback yang kami dapat, lauk yang lain dari punjungan lain akan menjadi rebutan...

Memandangkan saudara-mara dan mula munjung seminggu sebelum raya, kami dah tak perlu masak judah berbuka lagi. Setiap hari ada saja judah dihantar. Sampaikan pada pagi raya yang kami cari ialah sambal belacan dan ikan kering!. Mak pula akan munjung bila saya dah balik kampung. Bukan apa, ada assistant yang cekap... bolehla bawak berbincang nak masak apa.. boleh pula jadi supir ke pasar.. yang penting jadi tukang potong bawang dan sediakan rempah. Tang menumis tu... memang saya tak boleh kacau. Nanti lain pula rasanya. Hmm... sampai tua la saya jadi tukang hiris bawang. Harap-harapnya saya juga akan mewarisi kepandaian mak saya memasak nanti.

Ada lagi yang best... disebabkan setiap hari raya kami akan menerima punjungan, saya dah boleh kenal dan rasa. Lauk ni siapa yang masak, lauk tu mesti orang ni yang masak dan juadah ni air tangan siapa. Ada pula ketikanya, saya tertunggu-tunggu masakan orang tertentu sebab confirm best. Sampaikan saya boleh tau, kalau ayam masak merah atau masak kicap yang dimasak oleh adik-beradik perempuan mak saya... rupa paras dan rasanya mesti sama. Hahaha... dah tentula kan sebab mereka berguru dari tukang masak yang sama (arwah nenek saya).

Apapun, tahun ni saya tak merasa langsung makan punjungan sesiapa pun. Alahai... terliur pula. Harap-harap balik johor nanti adalah sikit-sikit untuk saya merasa.

1 comment:

[SHE] said...

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin taqabbalallahu minna wa minkum...ameennn...