Monday, August 21, 2006

Pintu untuk kembali yang telah terbuka..

Ada satu bahagian dalam diriku yang tidak aku tampilkan sebenar-benarnya. Ada minat, bakat dan keunikan.Ada naluri yang tidak mampu aku sangkal. Samada sengaja aku simpan dan pendam atau biarkan ia hilang.. atau sebenarnya aku tidak berkesempatan... atau mungkin aku tidak cuba mencari peluang dan ruang.
Namun kejayaan beberapa hari lalu membuatkan aku seolah-olah kembali ke jalan itu. Ini satu pencapaian peribadi yang sangat tidak ternilai. Penyertaan suka-suka mencatatkan satu sejarah dan aku rasa lorong ke arah itu masih lagi terbuka luas buatku. Bahkan mungkin lebih luas lagi daripada sebelum ini kerana aku mula menangkap makna satu kepuasan yang tidak terhingga.Ini adalah satu janji.. cepat atau lambat aku pasti akan kembali ke lorong ini.
Terima kasih buat teman-teman yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Terima kasih pada yang sudi memberi panduan. Terima kasih pada yang merestui penglibatan. Terima kasih yang sentiasa bersama dan menemani dari sesi latihan higgalah semua peringkat pertandingan..Terima kasih yang sama-sama berkorban. Masa, wang ringgit... segala-galanya. Kalian tetap di ingatan.


* Gambar: Ketika beraksi di pentas akhir W.P & Bersama Amran (ex-student) selepas Pertandingan Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2006. (Amran - tempat kedua W.P, Zkea - Ketiga W.P)

Thursday, August 17, 2006

Catatan dari sudut rasa

Mengusap segala resah
Menahan segala gundah
Melayani gelisah

Mencari-cari
Teliti-meneliti
Menguji-uji

Yang saput dalam ingatan
Yang luput dari kenangan
Yang luruh dari perasaan

Masih bertanya
Benarkah ini?
Kadang terpinga
Dalam terima

Berjanji-janji
Diri sendiri
Berpada-pada
Meluah rasa
Berhati tabah
Segala indah
Bersama tuhan
Aku teruskan...

Thursday, August 10, 2006

Jemputan ke laman tuhan

Saat-saat menerima beberapa berita kematian dan kehilangan yang tidak diduga menjadikan detik dan saat seakan berhenti seketika. Bagai tersedar dari lena yang panjang sesungguhnya hakikat kehidupan yang tidak mampu ditolak adalah bila tibanya saat maut menjemput. Maka sebagai seorang insan kita sebenarnya tidak pernah bersedia dengan ketibaan janji tuhan terhadap dunia yang dipinjamkan.Bersedia yang bagaimana? Adakah masih ada benci dalam hati... adakah masih ada sangsi dalam diri... Adakah amalan dan bekalan mencukupi... Adakah berakhirnya hayat kita meninggalkan kesenangan pada orang yang ditiggalkan atau mencatatkan kenangan seusia zaman? Atau masih bersisa benci dalam ingatan orang, menzahirkan kematian itu adalah satu rahmat setelah berakhirnya satu episod kehidupan.
Berkesempatankah kita melebarkan maaf kepada insan-insan yang pernah kita lukakan hatinya. Berpeluangkah kita meraih senyuman orang pada kita sebelum kita menutup mata. Mampukah kita melafazkan dua kalimat dalam senyum manis, puasnya menatap kehidupan indah yang ditinggalkan.
Biar abadi kita di laman tuhan dengan tenang dan damai, sejuk dengan siraman doa dan ingatan dari setiap insan.