Oleh: Siti Zakiah Bt. Melatu Samsi
Disiarkan di Dewan Masyarakat, Ogos 2008. (versi asal)
Alam siber adalah tarikan dunia masakini. Banyak perkara dan urusan seharian telah diterjemahkan di dalam dunia digital yang lebih mudah, murah dan pantas. Aktiviti ‘chatting’ atau berbual di atas talian misalnya merupakan salah satu aktiviti yang digemari ramai. Tidak kira apa golongan dan peringkat umur sekalipun, ‘chatting’ merupakan salah satu aplikasi internet yang digunakan secara meluas. Kalau dahulu, ‘chatting’ dikaitkan semata-mata untuk mereka yang berbual di atas talian untuk tujuan mencari teman baru ataupun sekadar suka-suka mengisi masa terluang, kini ‘chatting’ boleh dipraktiskan dalam dunia korporat mahupun professional. Sebagai contoh, ada syarikat-syarikat korporat membangunkan laman web syarikat masing-masing dengan aplikasi tambahan berbentuk ‘chat room’ sebagai mekanisme untuk pekerja syarikat tersebut berkomunikasi antara satu sama lain semasa bekerja dengan kos yang lebih murah, mudah dan berkesan berbanding penggunaan alat-alat telekomunikasi lain seperti telefon dan mesin faksimili. Ada juga institusi pendidikan yang menyediakan ‘chat room’ untuk pelajar mereka berkomunikasi dengan pensyarah di atas talian untuk melakukan perbincangan dan sebagainya.
Dalam bidang kaunseling, kaunseling atas talian atau lebih mudah disebut sebagai kaunseling siber ataupun dikenali juga sebagai e-kaunseling telah mula diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Stigma dan kerisauan masyarakat di negara ini terhadap perkhidmatan kaunseling sebenarnya telah membataskan pengamal kaunseling untuk menyalurkan khidmat mereka kepada yang memerlukan. Antara kebimbangan masyarakat sekiranya bertemu kaunselor adalah seperti dikaitkan menghidap penyakit mental, rahsia diri akan diketahui oleh orang ramai dan bimbang akan menjejaskan hubungan sosial dengan keluarga dan masyarakat kerana tanggapan-tanggapan negatif mereka. Secara umumnya, wujud ketidakpercayaan terhadap perkhidmatan kaunseling atau masyarakat masih tidak yakin kaunselor adalah individu terbaik untuk mereka berkongsi masalah dan mencari penyelesaian terbaik tentang isu-isu kehidupan yang membelenggu mereka. Kesannya, mereka akan mencari saluran lain untuk mereka berkongsi, bercerita dan meluahkan masalah mereka dengan orang lain seperti kenalan-kenalan mereka di ‘chat room’. Masalahnya, hubungan yang dibina melalui ‘chat room’ dan perkongsian masalah mereka dengan individu-individu yang tidak dikenali dan tidak dapat dipastikan tahap profesionalisme mereka dibimbangi akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Individu-individu yang bermasalah dan terumbang-ambing terutamanya remaja yang masih belum matang untuk menilai baik-buruk sesuatu perkara mungkin akan terpengaruh dengan nasihat-nasihat yang tidak sepatutnya daripada kenalan baru yang ‘mendengar’ masalah mereka.

Menyedari perlunya kaunseling bergerak seiring dengan pilihan masyarakat, Kaunseling Siber diperkenalkan. Menggunakan mekanisme yang sama seperti aplikasi ’chatting’, beberapa institusi mengorak langkah menyediakan ruang kepada yang memerlukan untuk mendapatkan khidmat kaunseling di atas talian. Klien atau individu yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling boleh berkomunikasi dengan kaunselor terlatih secara maya dan melalui sesi kaunseling tanpa bersemuka. Bagi sesetengah klien, perkhidmatan ini membuatkan mereka lebih terbuka bercerita masalah mereka tanpa melihat wajah kaunselor yang tidak mereka kenali dan merasa lebih selamat sekiranya identiti mereka disembunyikan. Selain itu, kaunseling siber ini memberi ruang kepada klien yang mempunyai masa terhad untuk membuat temujanji dengan kaunselor mendapatkan khidmat kaunseling dari rumah atau pejabat pada waktu yang selesa bagi mereka.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan kaunseling siber ini. Di dalam kaunseling, sesi kaunseling lebih efektif sekiranya kedua-dua pihak iaitu kaunselor dan klien dapat bersemuka. Ini kerana, kaunselor dapat melihat sendiri bahasa tubuh, hubungan mata dan pergerakan badan klien yang membolehkan kaunselor lebih memahami atau empati dengan apa yang diceritakan oleh klien kepada mereka. Ia juga membolehkan kaunselor membuat penilaian terhadap klien dengan lebih dalam bagi mencari punca sebenar masalah dan jalan penyelesaian terbaik. Dalam ilmu psikologi, bahasa tubuh, hubungan mata dan pergerakan badan klien boleh ditafsirkan oleh kaunselor sebagai maklumat tambahan yang boleh membantu kaunselor membuat penilaian terhadap klien. Sebagai contoh, kaunselor dapat mengesan tahap kebimbangan klien melalui pergerakan badan, mengesan masalah ketidakyakinan klien melalui pergerakan mata dan sebagainya. Maklumat-maklumat sebegini membantu kaunselor dalam melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan.
Oleh yang demikian, kaunseling siber yang disediakan oleh organisasi-organisasi tertentu biasanya bertujuan untuk memberi ruang klien-klien baru untuk mendapatkan sesi kaunseling. Biasanya, kaunselor yang melayani klien di atas talian akan berusaha untuk meyakinkan klien agar bersemuka untuk menjalani sesi kaunseling. Bagi sesetengah klien, sesi kaunseling di alam siber hanyalah permulaan bagi mereka untuk membina hubungan dengan kaunselor. Setelah mereka yakin dan percaya bahawa kaunselor mampu membantu mereka dan boleh dipercayai untuk mereka berkongsi masalah, mereka tidak akan ragu-ragu untuk mendedahkan diri mereka yang sebenar. Sebagaimana yang berlaku di dalam ’chat room’ yang membawa kepada ’blind date’, begitulah situasi yang berlaku di dalam kaunseling siber. Jika ramai yang memulakan perkenalan di ’chat room’ boleh berakhir di jinjang pelamin, perkenalan klien dan kaunselor di alam siber juga boleh membawa kepada hubungan positif antara kedua-dua pihak yang objektifnya untuk membantu kepada penyelesaian masalah.
Antara organisasi di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kaunseling siber ini ialah Jabatan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Di UIAM, pelajar-pelajar yang ingin berkongsi masalah boleh memilih untuk bersemuka dengan kaunselor atau berbual dengan kaunselor melalui e-kaunseling (kaunseling siber) atau menggunakan perkhidmatan tele-kaunseling. Begitu juga dengan DBKL yang menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma kepada masyarakat 24 jam. Pilihan yang disediakan oleh pengamal-pengamal kaunseling ini memberi ruang kepada khalayak untuk mempergunakan perkhidmatan mereka sebaiknya demi kualiti hidup yang lebih baik.
Statistik dan laporan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah pesakit mental di Malaysia meningkat saban tahun. Kajian Kesihatan dan Morbiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia 1996 melaporkan sebanyak 10.7 peratus rakyat Malaysia mengalami kesihatan mental. Pada tahun 2004 pula, Kajian Beban terhadap Pelbagai Penyakit mendapati penyakit mental merupakan penyakit yang kedua tertinggi di negara ini selepas penyakit jantung. Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula melaporkan, seorang daripada setiap 5 orang akan mengalami penyakit mental dalam hayat mereka. Desakan hidup, modernisasi dan keperluan yang semakin meningkat menjadi punca kepada ketegangan fikiran masyarakat. Peningkatan masalah mental di negara ini memberikan petanda bahawa perkhidmatan kaunseling adalah perkhidmatan yang amat penting bagi memastikan kualiti hidup masyarakat sentiasa berada di paras yang baik. Justeru, penambahbaikan dalam perkhidmatan kaunseling adalah sesuatu yang diperlukan ketika ini. Inisiatif organisasi dan institusi yang menawarkan khidmat kaunseling melalui pelbagai kaedah kepada khalayak ataupun kelompok organisasinya adalah usaha yang harus dipuji. Namun, yang paling utama ialah promosi dan program galakan kepada masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunseling harus dipergiatkan bagi memadam segala stigma yang telah lama berakar di kalangan mereka. Secanggih manapun teknologi yang digunakan untuk menyalurkan perkhidmatan kita miliki, jika ianya tidak mendapat sambutan, pastinya tidak akan mampu mencapai objektif yang disasarkan.