Wednesday, March 14, 2007

Terbayarkah segala harga


Demi ia
Aku perah keringat
Aku hampir hilang kederat

Demi ia
Aku hilang cinta
Aku hilang jiwa

Demi ia
Masaku terikat
Sibukku melarat

Demi ia
Keluarga jadi nombor dua
Adakala lupa kerja

Demi ia
Kakiku tertancap
Impian tak terucap


Gerakku terhad
Harapan berkarat

Demi Ijazah sarjana
Aku rela
Beribu bukan saja pada harga
Tapi masaku berlalu segera
Usia menginjak tua

Adakah terbayar semula segala
Yang terkorban, terpaksa dikorban, dikorbankan, mangsa pengorbanan
Ampun maaf buat yang terkena tempias
atas besar cita-cita.

Wednesday, March 07, 2007

"LORONG"

Dalam kesibukan yang teramat saya terpanggil untuk menonton teater 'Lorong' yang dipersembahkan oleh kelab teater IIC yang menggelarkan diri mereka KUPAS Production. Menarik. Kisah pertemuan beberapa watak di lorong Haji Talib. (bukan typo error). Dengan persoalan "masihkah ada cahaya di lorong itu?". Lorongnya digambarkan gelap. Watak-watak yang muncul di lorong adalah watak-watak yang dalam ketakutan. Lari dari buruan polis. Seorang pelakon yang menjadi mangsa perkosaan bapanya ketika kanak-kanak, seorang 'makcik' pengedar dadah yang bertopengkan gerai burger,seorang wanita yang menjual maruah diri demi kekayaan, seorang lelaki lembut yang dirosakkan oleh bapa saudaranya ketika berumur 12 tahun dan seorang anak yang mencari ibu kandung yang membuangnya ketika masih bayi.Mereka secara tidak sengaja berjumpa di satu lorong gelap yang membuatkan mereka mendedahkan siapa mereka sebenarnya dan apa yang mereka cari.

Secara asasnya, persembahan ini kuat kerana kekuatan pelakon-pelakonnya. Walaupun ini boleh dikatakan teater pertama secara dalam skala besar (dalam konteks IIC) yang dipentaskan oleh kumpulan ini.. bakat mereka terserlah. Emosi penonton diheret dari satu babak ke satu babak dengan baik. Dalam satu babak dan set sahaja, emosi penonton boleh bertukar mengikut skrip sekelip mata.Keupayaan mereka mempelbagaikan karakter yang sebenarnya menjadikan persembahan mereka hidup. Sebabnya, penonton tidak sempat merasa bosan dengan satu bentuk karakter semata-mata atau dialog yang panjang.(saya berani memperkatakannya kerana saya pernah tidur dalam satu persembahan teater di Istana Budaya).Dan yang saya suka, pelakon muncul dari pelbagai sudut di awal acara. Ada elemen bahasa etnik yang tidak kurang memeriahkan suasana.

Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah set dan props. Kreativiti pasukan ini menggunakan kekurangan dewan untuk merekacipta sesuatu yang lebih kreatif mengagumkan saya. Dari spotlight(mungkin mereka tak diberitahu ada spolight di STADD yang senior pernah gunakan dulu), tirai di belakang pentas, tangga kayu, susunan penonton.. semuanya menjadi objek tumpuan saya. Walaupun produksi ini tidak diberi sesen pun oleh pihak kolej, mereka seharusnya berbangga dengan keupayaan kumpulan ini menjayakan program sebegini dan memuaskan penonton.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki. Untuk persembahan teater, biasanya tiada sesi ucapan-ucapan. MC juga di belakang pentas.Jadi, tidaklah penonton ternant-nanti.Tapi mungkin disebabkan ini adalah persembahan pertama jadi penganjur ada sebab untuk memasukkannya dalam aturcara.Dari aspek jalan cerita, ada juga watak yang menampilkan cerita yang hampir sama. Mungkin mereka boleh lebih kreatif dengan mempelbagaikan lagi kisah sebab di akhir cerita seolah-olah semua watak terjerumus dengan dadah yang menjadi penyebab pertemuan mereka. Mungkin juga itu yang hendak ditampilkan oleh penulis skrip cuma saya yang kurang menghayati tema ini.Dan jika betul andaian saya yang temanya ialah dadah, saya rasa di sini kelemahan persembahan ini kerana tema ini tidak menonjol. Yang lebih menonjol ialah kejahatan lelaki, kecurangan wanita, tamak haloba dan juga kekurangan kasih sayang.Walau bagaimanapun, di akhir persembahan, mereka berjaya membuat kejutan kepada penonton yang tidak menduga bahawa kudin dan selamat adalah anak kepada makcik Jah dari dua suami berbeza. Akhirnya, satu persoaln yang tidak terjawab di fikiran saya.. "Siapa ya watak utama dalam teater ini?" kerana semua watak diberi 'weightage' yang hampir sama di sepanjang pementasan.

Apapun, syabas kepada produksi Kupas, syabas kepada penasihatnya, syabas juga kepada Student Affairs yang memberi peluang kepada produksi ini beraksi di pentas.