Salam buat semua...
Ketika catatan ini ditulis: malam ketiga menghabiskan malam di promenade hotel, Kota Kinabalu
Indahnya malam bersaksikan kerdipan bintang dari tingkat 8 promenade yang jendelanya berhadapan dengan lautan luas saujana mata memandang. Ahh...indahnya bumi orang, tiada jerebu..tiada kesesakan. Walaupun kedudukan kami betul-betul di pusat bandar namun kami seakan-akan berada di pekan kecil yang serba sederhana. Apapun, malam kedua aku dah mula rindukan Taman Koperasi Polis Fasa II terutamanya rumah no 22, Jalan 47/10. (rumah saper tu yer??) tak lupa juga BER3826. Rasa janggal pulak kat sini kena jalan kaki.
Apapun aku di sini membawa misi universiti tempat aku menimba ilmu dan pengalaman. Berbakti kepada yang sudi, membantu apa yang perlu. Bersama kontingen 4 orang pelajar, seorang lagi jurulatih dan seorang pegawai universiti. Kami di sini membawa misi mengekalkan kejuaraan debat yang sama di UITM tahun lalu, memperbaiki pencapaian debat FOMCA minggu lepas, mengulangi sejarah kemenangan bergaya pada debat Alam Sekitar di UTM bulan lalu di samping menghakimi pertandingan pusingan awal pertandingan debat ini. Ini tentunya bukan satu tugas yang main-main atau mudah bagiku. Dan ini bukanlah satu percutian atau pelarian dari hiruk -pikuk Kuala Lumpur dan lambakan tugas-tugas rasmi dan tidak rasmi di IIC juga APC.
Namun misi mengekalkan kemenangan dan mencapai kemenangan bukanlah yang paling utama bagiku. Yang penting kehadiranku di sini dapat memberi kekuatan moral kepada pasukan, mengekalkan semangat pertandingan yang positif, memastikan emosi para pendebat universiti sentiasa terkawal dan yang aku suka dan aku mahukan ialah perjalanan ini akan menjadi satu memori yang kami tidak boleh lupakan.
DEBAT bukanlah semata-mata untuk menjulang piala kejuaraan. DEBAT ialah gelanggang tempat manusia-manusia menggerakkan segala daya fikiran, menguji kekuatan minda untuk memahami, menganalisa dan menyampaikan sesuatu menggunakan kaedah yang paling baik agar difahami oleh setiap orang yang mendengar. DEBAT adalah seni bagaimana kita mampu meyakinkan orang lain melalui kata-kata dan seni menilai sesuatu dari pelbagai dimensi. Tidak ada yang paling betul dalam DEBAT dan tidak ada yang paling salah dalam DEBAT. Yang ada hanyalah kemampuan kita menunjukkan dan meyakinkan orang bahawa yang kita kata salah adalah salah dan yang kita kata betul adalah betul. Dalam DEBAT bukan kepetahan dan kelantangan suara semata-mata menjadi ukuran namun bagaimana kita mengawal diri dan emosi agar segala penghujahan dapat disampaikan dengan penuh wibawa dan terpuji. DEBAT bukan gelanggang untuk berlatih menjadi ego dan tinggi diri. Juga bukan pentas tempat mengasah bakat menjadi seorang yang penentang dan pengkritik. Namun dalam DEBAT segala pancaindera kita digerak dan dirangsang. Itulah DEBAT yang sehingga kini aku yakini aku hari ini boleh berbangga dengan diriku sendiri. Aku hari ini dibentuk sebahagian personaliti, peribadi dan sikap melalui asuhan debat yang aku terima sejak Tingkatan Enam di Sek. Men. Benut hinggalah tamat tahun akhirku di Universiti Islam Antarabangsa. Kerana itulah aku masih sanggup pulang lewat malam setiap hari untuk menyumbang kepada pasukan debat universiti. Kerana itulah aku masih sanggup memandu beratus batu hanya mahu melihat sokongan padu. Kerana itulah aku masih sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk bersama adik-adik debatku. Sesungguhnya aku masih menghargai segala ilmu pengatahuan melalui DEBAT dahulu sehingga kini.